Seni silat kegayungan acheh helang putih berasal dari Acheh,
Sumatera Indonesia. Menurut sejarah, seorang anak raja yang bergelar raja sulung
tunggak pahlawan dari negeri Pagar Gunung pergi memburu bersama-sama
pengiringnya kedalam hutan tebal yang jauhnya berpuluh-puluh kilometer dari
istana.
Ketika asyik berburu, baginda telah bertemu dengan seekor
burung helang putih yang sangat cantik. Helang itu telah menarik minat baginda.
Didalam hati baginda, alangkah beruntungnya jika burung itu dapat ditangkap dan
dijadikan burung peliharaannya.
Baginda sangat tertawan dengan burung helang itu sehingga
beliau tidak sedar telah mengekori burung itu jauh kedalam hutan berseorangan.
Tanpa menghiraukan pengiringnya, baginda telah samapi
kedalam sebuah gua yang terletak di pertengahan puncak sebuah bukit. Keadaannya
sangat sunyi tetapi bagaikan ada yang mendesak hatinya dan menggerakkan kakinya
menuju ke sebuah gua yang sederhana besar itu.
Helang putih terus memasuki gua batu itu dan baginda terus
mengikutinya dari belakang. Sebaik sahaja memasuki gua itu, baginda telah
dikejutkan oleh satu lembaga manusia yang duduk kaku diatas sebuah batu besar.
Lembaga yang dilihatnya itu adalah seorang pertapaan yang sudah betahun-tahun
lamanya menetap di situ. Anehnya perasaan takut tidak terbit dihati baginda.
Malah baginda asyik dengan apa yang ada di gua itu.
Akhirnya baginda terlena. Di dalam tidur yang nyenyak,
baginda telah bermimpi orang pertapaan itu ialah Ratu Agung Raden Dindiar dan
helang putih adalah daripada keluarga kesayangan anak kepada Tuan Putri Terus
Mata.
Helang putih itu asalnya ialah seorang lelaki yang perkasa
dan pandai dalam ilmu persilatan. Namanya Indera Sakti telah disumpah oleh
ayahandanya kerana sering turun ke bumi dan berdamping dengan manusia.
Ratu Agung Raden Dindiar yang berasal dari Acheh yang
berketurunan Jawa menyayangi burung helang putih itu sepertimana beliau
menyayangi dirinya sendiri. Dari pergerakan seekor helang, Ratu Agung Raden
Dindiar dapat mendalami ilmu beladiri dengan secukupnya.
Sebaik anak raja itu terjaga dari tidurnya, baginda melihat
burung helang putih masih berada di dalam gua tersebut. Bermula dari peristiwa
itu, baginda tidak pulang ke istana sehingga tamat perguruannya dengan Ratu
Agung Raden Dindiar.
Setelah bertahun-tahun lamanya mempelajari ilmu persilatan,
baginda akhirnya pulang ke istana. Maka berkembanglah seni silat Acheh helang
putih dan menjadi satu seni beladiri yang terkenal pada masa itu.
Aliran silat ini merupakan silat keturunan yang sekarang
dikembangkan secara meluas oleh cucunda Raja Tunggak Pahlawan iaitu Abdul Aziz
bin Mohd Ali yang bergelar Raja Aziz Laksamana Hojak Andak.
Beliau pernah aktif bersama Kementerian Kebudayaan Kuala
Lumpur yang diasuh oleh Allahyarham Bapak Osama Sumanti yang dulunya dikenali
sebagai Guru Tari Kuno dan Guru Persilatan (Silat Pulut).
Selain mendalami ilmu-ilmu persilatan dan kebatinan, Abdul
Aziz bin Mohd Ali turut membuka matanya melihat aliran orang lain. Oleh itu
beliau pernah mendalami seni Judo dan Pergerakan Kudokan Ninja perseorangan
dengan Master Herakawa selama 4 tahun.
Selepas itu, beliau mendalami ilmu Taichi bersama Master Lee
dan meneruskan pelajaran seni mempertahankan diri (silat) sebanyak 7 jenis.
Kebolehan yang ditunjukkan itu, Abdul Aziz bin Mohd Ali telah bergelar sebagai
guru dalam usia yang muda.
Rasa tidak puas hati dengan kebolehan sendiri menyebabkan
Abdul Aziz bin
Mohd Ali mencari guru-guru yang dikira dapat memberikan ilmu
kepadanya. Silat Sheikh Baginda Ali, Batin Harimau Puaka, Sheikh Gagak di
Rimba, Perilmuan Changkat dan lain-lain lagi adalah aliran yang pernah
dipelajarinya.
Setelah bapa angkatnya mangkat, pada usia 120 tahun lebih,
dia diamanahkan mengembangkan silat Acheh Helang Putih ini sebagai menggantikan
arwah gurunya. Setelah itu Abdul Aziz bin Mohd Ali menambah perkataan Acheh
Helang Putih kepada Kegayungan Acheh Helang putih yang bererti silat ini penuh
dengan kebatinan (maksud kebatinan disini adalah mengawal dari segi fizikal dan
mental menggunakan segala pancaindera tubuh badan seperti mata, telinga, rasa
serta pernafasan dan bukannya menggunakan bantuan makhluk halus).
No comments:
Post a Comment